Rabu, 12 Disember 2012


KEMAHIRAN MEMBACA


Kemahiran membaca adalah salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran membaca merupakan susulan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Menerusi pembacaan, seseorang berupaya memperoleh ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi menerusi pengalaman-pengalaman biasa yang lain. Membaca membantu meningkatkan dan memperluaskan pemikiran,idea serta meningkatkan daya kemahiran kreatif dan kritis seseorang individu dalam pelbagai bidang.

Membaca merupakan proses kebalikan daripada proses menulis. Proses membaca memerlukan seseorang itu menterjemahkan kembali lambang-lambang bertulis kepada lambang-lambang bunyi yang hendak disampaikan oleh penulisnya. Membaca berbeza daripada mendengar kerana ia melibatkan kedua-dua aktiviti verbal dan literasi secara serentak. Apabila kita membaca kita akan menghuraikan bahan bercetak kepada pertuturan dan pada masa yang sama kita akan menghuraikan pertuturan itu kepada pemikiran.

Kebolehan membaca amat  penting kerana ia merupakan satu ukuran kejayaan seseorang pelajar di sekolah. Kebolehan membaca dianggap sebagai asas bagi mencapai semua kejayaan dalam semua bidang, terutama dalam bidang pendidikan. Kemahiran membaca ditekankan pada peringkat awal lagi bersama kemahiran lain seperti mengira dan menulis. Kebolehan membaca bukan sahaja dianggap sebagai asas utama bagi mencapai kejayaan dalam bidang ekonomi dan sosial, malah sistem persekolahan itu sendiri menganggapnya sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Membaca adalah satu proses memperoleh tafsiran yang bermakna ke atas lambang-lambang bercetak dan bertulis (Harris dan Sipay, 1980). Proses membaca juga dikatakan sebagai keupayaan seseorang itu mengecam bentuk visual dan menghubungkan bentuk itu dengan bunyi ataupun makna yang diketahui melalui pengalaman dan akhirnya berupaya mentafsirkan maksudnya.
 Smith dan Johnson (1980)mentakrifkan membaca sebagai keinginan mewujudkan interaksi antara penyampaian idea penulis denga tanggapan yang dibuat oleh pembaca.Goodman (1973) pula menyatakan membaca adalah proses psikolinguistik yang bermula daripada pembaca mengamati perkataan yang terdapat dalam teks yang dibaca sehinggalah terbentuknya makna berdasarkan pengamatan yang dilakukan. Ini menunjukkan melalui proses itu wujud interaksi antara bahasa dengan pemikiran kerana hubungan hubungan antara bahasa dengan pemikiran sememangnya berlaku dalam dimensi yang lebih luas. Kita menggunakan bahasa bagi melahirkan pemikiran yang wujud dalam minda.

Jenis peringkat membaca

Terdapat empat jenis peringkat membaca iaitu;
·                     Bacaan mekanis (bersuara)
·                     Bacaan mentalis / akaliah (kefahaman)
·                     Bacaan intensif (mendalam)
·                     Bacaan ekstensif (meluas)

Catat Ulasan